ISKANDAR PUTERI: Kerajaan diminta mengadakan dialog dengan penyedia perkhidmatan bas sempena pembukaan sempadan antarabangsa bermula 1 April ini kerana mereka mendakwa tidak mendapat maklumat lengkap yang dibimbangi akan menimbulkan kesulitan kelak.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R. Thiagarajan berkata, persatuan itu yang mewakili ribuan pengusaha bas berharap Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan menganjurkan sesi libat urus berkaitan seperti yang dilakukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini.
“Sehingga kini perinciannya masih belum dimaklumkan, sepatutnya dalam tempoh kurang seminggu ini kita sudah boleh lakukan persediaan sewajarnya agar tidak kelam kabut selepas sempadan antarabangsa dibuka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata, pihaknya merancang untuk membuat mogok kepada kerajaan sekiranya rintihan golongan pengusaha bas berhubung masalah kredit tidak dapat diselesaikan.
“Harapan kami agar kerajaan dapat bantu selesaikan masalah pinjaman kredit selepas kami kurang pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Ketika ini kami hidup dengan kebimbangan dikejar pengutip hutang dan penarik kenderaan. Jadi adalah lebih baik kami meletakkan kenderaan dan memberi kunci kepada agensi kerajaan di Putrajaya (mogok). Sekiranya ada pihak yang mahu tarik, mereka boleh berhubung terus dengan agensi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Thiagarajan meminta kerajaan membenarkan pengusaha bas sekolah dan persiaran untuk memasang iklan di kenderaan mereka sebagai langkah mencari pendapatan tambahan dalam tempoh yang mencabar ketika ini.
Katanya, jika perkara itu dibenarkan, pengusaha tidak lagi perlu memohon bantuan daripada kerajaan untuk kekal beroperasi kerana dalam tempoh dua tahun ini, dianggarkan seramai 300 pengusaha di Johor telah menghentikan operasi mereka.
“Mereka antara yang terjejas teruk akibat Covid-19, jadi sekiranya mereka dibenarkan untuk membuat pengiklanan di bas dan van milik mereka, itu akan membantu meneruskan kehidupan. Tetapi malangnya sehingga kini bas sekolah dan persiaran tidak layak, tetapi bas henti-henti dan ekspres boleh, mengapa situasi seperti itu berlaku sedangkan kami juga mempunyai aset yang sama,” katanya.
Thiagarajan turut meminta Kementerian Pengangkutan untuk mempertimbang semula pelaksanaan Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang membenarkan pengusaha bas sekolah dan persiaran menggunakan kenderaan mereka untuk tujuan lain kerana skim berkenaan banyak membantu meraih pendapatan tambahan.
“Apabila lesen ini dimansuhkan, banyak pengusaha bas sekolah dan bas persiaran yang mengadu kerana mereka masih belum mempunyai pendapatan yang kukuh walaupun sudah kembali beroperasi. Hal ini lebih meruncing khususnya buat pengusaha bas dan van sekolah apabila banyak sekolah melaksanakan penggiliran kelas, menyaksikan jumlah murid yang menggunakan perkhidmatan itu semakin berkurangan,” katanya. – UTUSAN










