JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat, semalam kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti memberi rasuah bagi mendapatkan tender projek.
Sumber memaklumkan, suspek seorang wanita berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Johor, di sini.
Menurut sumber itu, wanita berkenaan ditahan kerana disyaki memberi rasuah bagi membolehkan syarikatnya mendapatkan projek di bawah kelas G2 sedangkan syarikat miliknya adalah kelas G3.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan pada tahun lalu, namun jumlah rasuah yang diberikan pihaknya masih dalam siasatan pihak berkuasa. Wanita itu bagaimanapun tidak dikenakan tahanan reman sementara kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias yang dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










