SEREMBAN: Seorang pengurus bank di Kuala Lumpur mengalami kerugian apabila wang titik peluhnya bekerja sejak usia muda lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, kejadian melibatkan mangsa iaitu seorang wanita berusia 53 tahun yang menetap di daerah ini dan melibatkan kerugian sebanyak RM605,000.

Menurut beliau, mangsa pada awalnya mendapat panggilan telefon daripada seorang individu pada 26 Januari lalu dan telah ditakut-takutkan dengan dakwaan identitinya digunakan bagi tuntutan pampasan insurans selain didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Setelah beberapa sambungan panggilan dibuat melibatkan beberapa individu, mangsa ditunjukkan waran tangkap terhadapnya yang kemudian kononnya akan diserahkan kepada polis. Mangsa merayu dan meminta untuk membuat siasatan yang betul. Mangsa juga memaklumkan sumber wangnya adalah dari titik peluh wang bekerja dari zaman muda.
“Mangsa kemudian mengeluarkan wang dari akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebanyak RM450,000 dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM180,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang ke dalam akaun Bank Islam miliknya sepertimana diarahkan individu terlibat yang kononnya untuk tujuan siasatan.
“Mangsa kemudiannya turut berkongsikan maklumat perbankan berkenaan termasuk nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada individu tersebut. Wanita terbabit yang kemudiannya curiga telah menyemak akaun bank miliknya itu dan mendapati wang tersebut telah hilang.
“Mangsa yang tersedar menjadi mangsa penipuan setelah curiga segera membuat laporan di Balai Polis Senawang semalam,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN