Pengundi pertama kali teruja - Utusan Malaysia

Pengundi pertama kali teruja

RAJA Muhammad Haiqal Raja Jaafar dan Nursyazlin Najiha Karyadi teruja dapat menunaikan tanggungjawab selaku pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Golongan pengundi baharu khususnya generasi muda melahirkan keterujaan untuk menunaikan hak dan tanggungjawab dalam memilih kerajaan buat pertama kalinya menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Raja Muhammad Haiqal Raja Jaafar, 20, memberitahu, dia gementar untuk mengundi buat pertama kali dalam hidupnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, di sini.

“Saya akui kurang mengikuti perkembangan politik tanah air, namun begitu saya tetap teruja untuk mengundi, apatah lagi ini merupakan satu keputusan besar dalam memilih kerajaan negeri baharu.

“Walaupun tidak tahu cara-cara mengundi sebelum ini, namun saya telah bertanyakan kepada ibu apa yang perlu dilakukan dan dokumen apa yang perlu dibawa, selain itu saya juga ada melakukan kajian melalui media sosial.

“Insya-Allah saya memilih calon yang diyakini boleh berkhidmat, mempunyai sikap mesra dengan rakyat dan ada ketika bantuan diperlukan,” kata pelajar tahun akhir Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran di Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru itu.

Sementara itu, seorang kerani syarikat swasta, Nursyazlin Najiha Karyadi, 20, pula memberitahu, dia sudah membuat kajian sebaiknya berkenaan calon-calon dan latar belakang mereka.

“Saya membuat inisiatif berkenaan kerana tidak mahu tersalah pilih, dan saya juga membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa termasuk ahli keluarga atau rakan-rakan.

“Setiap orang mempunyai kemahuan berbeza, jadi jangan terlalu dengar pendapat orang lain sebaliknya buat keputusan sendiri, sebagai anak muda pastinya saya mahukan wakil rakyat yang mudah didekati dan dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” jelasnya.

PRN Johor menyaksikan seramai 173,177 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun layak mengundi di kesemua 56 kerusi DUN.

DUN Puteri Wangsa merupakan kawasan paling ramai pengundi dalam kumpulan itu dengan seramai 11,157 pengundi, diikuti Kota Iskandar (10,941), Tiram (10,613), Permas (8,994), Perling (7,859), Johor Jaya (6,446) dan Skudai (5,949).

Golongan muda berkenaan dibenarkan mengundi pertama kali dalam pilihan raya ini susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN