PETALING JAYA: Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diumumkan hari ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.
Menurut KWSP, susulan pengumuman itu, pihaknya akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik.
Katanya, ini juga merupakan pengeluaran keempat bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli.
“Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021.
“Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.
“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran untuk pencarum melakukan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan KWSP.
Susulan pengumuman itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat. – UTUSAN










