KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan dan jurusolek maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan di Kampung Bukit Tunggal di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.25 petang itu, pemandu Proton Waja dan Honda Civic iaitu Mohammad Faiz Azmi Harun, 31, dan Annur Izatul Dawiah Mohd. Razali, 24, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohammad Faiz dari arah Jambatan Sultan Mahmud tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, mangsa kemudian merempuh dua lagi kenderaan lain iaitu Perodua Viva yang dinaiki dua penumpang di samping Honda Civic.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Mohammad Faiz tercampak ke kawasan semak di seberang jalan manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan, namun penumpangnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ismail, mayat Mohammad Faiz dan Annur Izatul Dawiah kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










