Pengantin hadir konvokesyen selepas empat jam bernikah - Utusan Malaysia

Pengantin hadir konvokesyen selepas empat jam bernikah

NUR Izzatul Nabilah Ghazali menemani Ameerul Hakim Muzi@Ahmad Fauzi menerima ijazah selepas empat jam mereka bernikah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Selepas empat jam diijabkabulkan, pasangan pengantin baharu terpaksa bergegas meninggalkan majlis perkahwinan mereka bagi menghadiri konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini.

Kehadiran Ameerul Hakim Muzi@Ahmad Fauzi, 27, dan Nur Izzatul Nabilah Ghazali, 22, menarik perhatian ramai apabila kedua-duanya kekal menyarung persalinan mempelai yang berwarna biru.

Pasangan suami isteri itu terlibat dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-13 dengan Ameerul Hakim menerima Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian) pada hari ini manakala isterinya pula meraih diploma dalam kursus sama, lusa.

Ameerul Hakim berkata, dengan sekali lafaz dia selamat bergelar suami kepada Nur Izzatul Nabilah dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Terengganu pada pukul 10.30 pagi.

Katanya, walaupun menuntut dalam jurusan sama, namun dia tidak pernah mengenali isterinya dan mula berkenalan ketika bertugas di klinik sama di daerah ini pada Ogos tahun lalu.

“Pernikahan kami sepatutnya dibuat pada bulan depan, namun terpaksa diawalkan kerana kekangan kerja isteri yang berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang.

“Pada mulanya saya tidak merancang untuk ke konvokesyen kerana bertembung masa dengan majlis akad nikah di sebelah pagi tetapi saya bersyukur apabila pihak Unisza menyarankan saya hadir menerima ijazah pada sesi petang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ameerul Hakim, walaupun situasi itu meletihkan, namun dia gembira kerana dapat menunaikan hasrat ibu bapa untuk melihatnya naik pelamin dan pentas konvokesyen pada hari sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN