ALOR SETAR: “Saya mungkin rasa bersalah seumur hidup jika tak selamatkan mangsa yang hampir lemas.”
Luah pengantin baharu,, Mohd. Anuar Ahmad, 33, yang muncul sebagai hero pada Jumaat lalu selepas berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak autisme berusia 10 tahun yang hampir lemas setelah terjatuh dalam Sungai Anak Bukit di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu pasangan pengantin baharu ini, Mohd. Anuar dan isteri, Nor Haslinda Mahmud, 38, kebetulan berada tidak jauh dari tebing sungai itu untuk mengambil gambar perkahwinan mereka.
“Kami berada tidak jauh dari kawasan kejadian, saya sudah lihat seorang wanita dan tiga anak-anaknya bermain-main di tebing. Sejurus selepas itu kami terdengar bunyi kuat sesuatu jatuh ke dalam sungai dan suara wanita menjerit.
“Arus sungai memang deras dan air dalam. Saya nampak budak ini sudah terkapai-kapai tangan. Kami cuba guna bot yang ada tapi semua rosak. Saya tak dapat nak fikir lagi terus tanggal sampin dan tengkolok lalu terjun sebab arus sudah bawa budak ini ke tengah sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di sini hari ini.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon yang menyampaikan sijil penghargaan khas Hero Bomba kepada Mohd. Anuar. Turut hadir, Nor Haslinda.
Bercerita lanjut kata, Mohd. Anuar yang merupakan seorang pesawah berkata, insiden itu merupakan kali kedua selepas dia turut menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir lemas di Bukit Wang Jitra beberapa tahun lepas.
“Keadaannya lebih kurang sama. Ini libatkan nyawa orang. Saya tak boleh fikir lebih-lebih kerana saya boleh berenang dan ada orang hampir lemas jadi saya perlu bantu kalau terjadi sesuatu buruk depan mata saya tentu saya akan rasa bersalah juga.
“Saya anggap ini permulaan baharu yang baik untuk saya dan isteri yang baru berkahwin,” kata pasangan tersebut yang melangsungkan penikahan pada 29 Januari lepas,” ujarnya.
Dalam pada itu menurut Sayani, keberanian Mohd. Anuar ini wajar dijadikan contoh oleh orang ramai kerana sanggup mengambil risiko menyelamatkan nyawa ketika berlaku kemalangan.-UTUSAN