Penduduk malu kampung banyak lalat

Penduduk malu kampung banyak lalat

RAZMAN Zakaria (depan) melawat ladang ayam yang menjadi punca masalah lalat di Kampung Batu 2 Kampung Changkat Lobak dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Penduduk di Batu 2 Kampung Changkat Lobak di sini menghadapi masalah lalat sejak lebih 20 tahun lalu berpunca daripada ladang ternakan ayam secara terbuka di kampung itu.

Masalah itu melibatkan kira-kira 600 rumah di kampung itu yang mengganggu kehidupan seharian dan turut memalukan penduduk. 

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Changkat Lobak, Muhammad  Ridzuan Zulkifli berkata,  masalah lalat yang berlarutan berpunca daripada ladang  ayam terbuka yang diusahakan oleh beberapa orang penternak.

Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali masalah itu diajukan kepada pihak yang berkenaan, ia masih tidak dapat diselesaikan.

“Masalah lalat di kampung ini sudah lama dan jumlah lalat terlalu banyak sehingga menyusahkan penduduk sehinggakan kalau nak makan, kalau tuang kicap ke atas nasi, akan keluar lalat dari botol.

“Bagi peniaga makanan di sini, sering kali pelanggan yang datang akan segera beredar kerana lalat terlalu banyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad  Ridzuan berkata, penduduk juga malu disebabkan keadaan itu terutama apabila orang luar datang menghadiri majlis kenduri di kampung itu.

Katanya, tuan rumah majlis kenduri juga kasihan melihat tetamu yang datang diganggu lalat.

“Pernah berlaku tetamu yang hadir satu majlis kenduri perkahwinan di kampung ini mengalami cirit birit selepas makan disebabkan lalat.

“Kami amat berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.”katanya

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria yang meninjau ladang ternakan ayam di kampung itu berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, Jabatan Veterinar akan diminta untuk mengambil tindakan terhadap ladang ayam di kampung itu untuk mengatasi masalah itu.

Katanya, ini bagi memastikan ladang ternakan itu bersih dari lalat.

“Kerajaan negeri meminta pemilik ladang ayam di negeri ini supaya tidak bersikap tunggu dan lihat untuk menukar ladang terbuka kepada ladang moden.

“Langkah ini perlu bagi memastikan ladang ayam tidak menimbulkan kesulitan kacau ganggu  lalat kepada penduduk, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya