BANDAR BAHARU: Lebih 2,000 penduduk di Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini kecewa apabila capaian internet semakin lemah dan perlu dinaik taraf segera.
Keadaan tersebut didakwa menimbulkan banyak kesukaran kepada penduduk yang memerlukan kemudahan internet lebih pantas.
Malah Utusan Malaysia pada 13 Januari lalu pernah melaporkan penduduk terutamanya pelajar sekolah yang mengikuti kelas pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di kampung tersebut menghadapi masalah untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah berikutan internet lemah.
Seorang penduduk Nor Arzila Abd Rashid, 36 berkata, dia mendapati rangkaian internet masih lemah malah adakalanya tidak ada langsung capaian internet.
Menurutnya, beberapa buah syarikat telekomunikasi pernah membuat tinjauan dan melakukan kajian mengenai kelajuan internet di kampung tersebut.
“Sesi persekolahan pula bakal bermula pada minggu hadapan dan PdPR masih lagi dijalankan namun masih ramai pelajar di kawasan ini tercicir kerana kegagalan mendapatkan capaian internet,” katanya.
Nor Azila menambah, penduduk terlibat mohon tindakan segera daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) negeri melakukan kerja-kerja penambahbaikkan internet di kampung itu dengan segera.
“Malah kerajaan negeri berjanji untuk membina sebuah menara telekomunikasi di kawasan itu pada Januari lalu, namun sehingga kini tiada sebarang kerja untuk meningkatkan kelajuan internet di kawasan terbabit,” ujarnya.
Penduduk, Normarlia Omar, 39 yang menjalankan perniagaan gerai makanan berkata, disebabkan capaian internet lemah aktiviti perniagaan makanannya secara bayar tunai ketika penghantaran (COD) juga terganggu.
“Kadang-kadang pesanan yang dibuat pelanggan lambat masuk, pesan waktu tengah hari tetapi pesan tersebut masuk dalam aplikasi WhatsApp sebelah malam.
“Pelanggan yang memahami situasi kami di kampung itu akan datang sendiri jika pesanan masih belum dibaca,” katanya.
Melati Elias, 45, pula berkata, penduduk di Kampung Paya Takung di sini juga tidak lagi mendapat capaian internet dan terpaksa keluar dari rumahnya sejauh dua kilometer ke pekan Lubuk Buntar atau Plaza Tol Bandar Baharu untuk dapat talian internet.
Menurut Melati, anaknya, Mikael Abdulah, 12, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Permatang Kerat Telunjuk sering ketinggalan mengikuti sesi PdPR.
“Sekiranya guru menghantar bahan tugasan untuk mengulang kaji pelajaran, waktu malam baru bahan tersebut diterima,” katanya. – UTUSAN