Pendaki 84 tahun hilang ketika menuruni bukit - Utusan Malaysia

Pendaki 84 tahun hilang ketika menuruni bukit

PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika aktiviti pendakian di Puncak Jelapang, Ipoh. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pendaki warga emas dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan tujuh rakan di Puncak Jelapang di sini semalam.

Difahamkan, kehilangan mangsa, Lau Sam, 84, itu disedari ahli kumpulannya sekitar pukul 6 petang setelah didapati tidak tiba di kaki bukit yang kemudian bertindak mendaki semula bagi mencari mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 1.17 pagi tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan dengan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Difahamkan, mangsa merupakan pendaki berpengalaman dan lokasi aktiviti pendakian ini juga merupakan trek yang biasa dilaluinya dan ahli kumpulan.

“Jadi, untuk dia tersasar dari trek atau sesat kemungkinan besar tidak berlaku. Apa yang dibimbangi sekarang, mangsa mungkin terjatuh ketika menuruni bukit kerana menurut saksi, kali terakhir dia dilihat adalah pada ketinggian 285 meter dari aras laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sharudi, trek pendakian di kawasan tersebut mempunyai banyak laluan turun di mana Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis membuat carian di lokasi terakhir mangsa dilihat.

Katanya, pencarian turut dilakukan di laluan lain iaitu tempat mangsa mungkin terjatuh.

“Sehingga kini, operasi pencarian dilakukan di semua laluan turun dengan bantuan dua ekor anjing K9 bomba dan seekor anjing K9 polis. Setakat ini, kita masih belum menemukan sebarang petunjuk positif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN