KOTA BHARU: Penangguhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama setahun sebelum ini diibaratkan sebagai satu ‘bonus’ kerana calon yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu dapat melakukan persiapan lebih baik.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Nik Arisya Balqis Nik Azman, 18, berkata, namun ia bukan menjadi alasan baginya belajar secara sambil lewa sebaliknya tempoh berkenaan membolehkannya membuat persiapan bagi mengulang kaji mata pelajaran secara lebih teliti.
“Memang agak sukar belajar ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 selain sesi persekolahan juga kerap tertangguh dan terpaksa belajar secara dalam talian.
“Walau bagaimanapun, bagi membantu memantapkan lagi kefahaman dalam setiap mata pelajaran, saya bersama rakan-rakan akan mengulang kaji menggunakan aplikasi Google Meet pada sebelah petang dan memperuntukkan masa selama dua jam,” katanya kepada pemberita di SMK Zainab 1, di sini hari ini.
Seorang lagi calon SPM, Alya Batrisya Mohammad, 18, pula berkata, pada malam tadi dia tidur lebih awal pada kebiasaannya kerana bimbang tidak cukup rehat sekaligus tidak mengganggnya untuk menjawab kertas soalan di dewan peperiksaan.
“Walaupun saya bangun pada jam 4.30 pagi untuk menunaikan solat tahjud dan hajat selain membaca beberapa surah bagi menenangkan fikiran. Insya-Allah saya yakin dapat menjawab soalan peperiksaan ini dengan baik setelah lebih setahun membuat persiapan,” katanya.
Peperiksaan SPM 2021 dianjakkan pada Mac tahun ini ekoran pandemik Covid-19. Seramai 27,372 calon SPM berdaftar di negeri ini di 283 pusat peperiksaan di Kelantan. – UTUSAN