KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi isu utama dalam ucapan dasar ketiga-tiga sayap parti UMNO, semalam.
Pemuda dan Puteri UMNO dilihat senada untuk PRU-15 diadakan segera, sementara Wanita pula berpandangan supaya keputusan itu perlu mengambil kira perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang membolehkan pilihan raya diadakan selepas Julai tahun ini.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menyegerakan PRU bagi mengambil peluang semangat yang sedang meninggi sekarang.
Katanya, sebelum ‘tonik’ yang ada itu menjadi kendur, pembubaran perlu dibuat segera.
“Kita sudah berada di gear keempat, nak masuk gear kelima. Kita nak memecut kereta hingga ke garisan penamat untuk meraih kemenangan paling mutlak bagi menebus maruah kita yang hilang dalam perlumbaan PRU-14.
“Jangan lemahkan semangat kami. Kami mahu pecut dan pecut lagi,” katanya dalam ucapan dasar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula, kerajaan sekarang sangat bergantung kepada ihsan pembangkang dan diugut-ugut parti lain.
“Tiga pilihan raya negeri di Sarawak, Melaka dan Johor dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik. Sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah kerajaan.
“Hanya dengan mandat baharu maka sebuah kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan,” jelasnya yang memberi gambaran seolah-olah supaya PRU perlu diadakan lebih awal.
Namun, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan sama ada PRU perlu diadakan awal atau tidak, ia perlu mengambil kira MoU antara kerajaan dan pembangkang.
“Wanita UMNO sentiasa bersedia pada bila-bila masa, bila sampai pada waktunya. Kita juga perlu ambil kira kesepakatan dan persefahaman, kestabilan politik MoU antara blok kerajaan dan pembangkang kerana keabsahannnya sampai Julai 2022, tidak lama lagi.
“Justeru, sebarang tindakan hendaklah dibuat secara berhemah. Wanita percaya Majlis Kerja Tertinggi akan buat keputusan terbaik dengan mencadangkan masa yang sesuai kepada Perdana Menteri selaras dengan peruntukan perlembagaan,” jelasnya. – UTUSAN











