KUALA TERENGGANU: Pemimpin Pas diminta tidak cepat melatah atau berjiwa tisu dengan apa jua provokasi dibuat pihak lawan atau kawan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai pemimpin yang berpendirian, seseorang perlu berjiwa besar apabila dihentam atau dikecam.
“Biasalah ucapan retorik politik, parti A kata parti B, jadi kita tidak perlu ambil ‘port’ sangat.
“Kita jangan termakan provokasi atau berjiwa tisu, sebaliknya kita bawa idea yang jelas dan biar rakyat pilih ketika pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN),” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Nadwah Ilmuan Muslim di sini hari ini.
Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sikap Pas yang menunggang agama menjadi punca parti itu tidak disukai oleh rakyat Johor.
Malah katanya, orang Melayu akan kekal mundur jika politik Islam Pas terus menjadi pilihan.
Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, setiap teguran terbuka yang dibuat sama ada di laman Facebook mahu pun dalam majlis adalah bertujuan untuk mendidik kalangan pemimpin politik yang nakal.
Katanya, teguran itu tidak hanya terhad kepada Pas tetapi turut ditujukan kepada parti-parti lain.
“Al-Quran mengajar kita berpolitik secara matang, malah budaya politik matang dan sejahtera juga menjadi dasar Pas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin mengakui apa jua keputusan dalam PRN Johor akan memberi kesan kepada hala tuju Pas. – UTUSAN