KOTA KINABALU: Pembukaan sempadan negara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April bertujuan untuk merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan.
Beliau berkata, pembukaan sempadan itu akan membolehkan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutama sektor pelancongan yang menjadi penyumbang kepada pendapatan negara.
Katanya, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi.
“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.
“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, dalam ucapan perbahasannya di Parlimen, beliau meminta kerajaan khususnya kementerian yang terlibat untuk mengkaji pembukaan sempadan negara untuk kebaikan terutamanya untuk memulihkan ekonomi yang sekian lama terjejas susulan pandemik Covid-19.
Jelas beliau, Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu segera membuka sempadan masing-masing untuk membantu memulihkan ekonomi terutama sektor perdagangan dan pelancongan tanpa memberi risiko kepada kesihatan rakyat.
Mengulas lanjut katanya, pembukaan semula sempadan negara juga perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko dan selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Langkah ini penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan. Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi seperti sektor pelancongan mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara” katanya.
Tambah beliau, semua pihak harus sentiasa mengambil langkah berwaspada dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi menjalani kehidupan harian untuk bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara. – UTUSAN










