SUNGAI PETANI: Pemandu lori yang merempuh dua penunggang motosikal hingga maut di bawah jejambat di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bedong di sini semalam direman selama tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek berusia 28 tahun bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek yang berbaju T dan berseluar hitam tiba di pekarangan Mahkamah Sungai Petani di sini pada pukul 10.10 pagi dalam keadaan bergari dan diiringi anggota polis.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang semalam, pemandu lori itu merempuh sembilan buah motosikal dan dua penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, seramai enam lagi penunggang mengalami kecederaan akibat dirempuh lori terbabit ketika berteduh di bawah jejambat semasa hujan lebat.
Mangsa yang maut ialah Mohd. Amirul Ismail, 28, dari Anak Bukit, Alor Setar dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah.
Enam mangsa yang cedera sedang mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala seorang mangsa tidak mengalami kecederaan.
Ketika kejadian pemandu lori yang berasal dari Kelantan itu ditemani kelindannya dalam perjalanan ke Pulau Pinang selepas selesai menghantar sofa di Kuala Nerang.
Kenderaan yang dipandunya dikatakan merempuh sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di bawah jejambat itu menyebabkan dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu lori terbabit dan kelindannya yang turut dibuat ujian saringan didapati negatif dadah serta bebas alkohol, tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN