Pelancong perlu guna ejen ke Taman Eko Rimba Mossy Forest - Utusan Malaysia

Pelancong perlu guna ejen ke Taman Eko Rimba Mossy Forest

TAMAN Eko Rimba Mossy Forest.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua kawasan ekopelancongan yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini sudah dibuka sepenuhnya dengan kebenaran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bermula Isnin lalu.

Namun, berdasarkan kenyataan JPNP, penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan telah ditetapkan untuk mana-mana pelancong yang berhasrat ke Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, dekat Cameron Highlands.

Menurut kenyataan itu, terdapat kejadian tanah runtuh di jalan masuk ke stesen VHF Gunung Brinchang yang merupakan jalan akses ke TER Mossy Forest semasa musim tengkujuh pada Disember tahun lalu.

“Kejadian itu menyebabkan jalan tersebut berbahaya kepada kenderaan biasa dan pemandu yang tidak mahir di jalan itu. Keadaan jalan akses ke TER Mossy Forest termasuk kawasan tanah runtuh tidak sesuai untuk kenderaan biasa. Bagi keselamatan dan keselesaan pengunjung, hanya kenderaan lasak pacuan empat roda (4WD) boleh diguna pakai untuk ke TER Mossy Forest,” kata JPNP.

JPNP berkata, penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan akan menjamin keselamatan pengunjung terutamanya semasa melalui kawasan berisiko tinggi (tanah runtuh dan jalan terputus).

Katanya, perkhidmatan ejen pelancongan untuk ke TER Mossy Forest adalah tindakan sementara sehingga jalan akses dibaiki Jabatan Kerja Raya (JKR) dan selamat digunakan.

Sementara itu, menurut pihak JPNP, tempat parkir kenderaan di TER Mossy Forest adalah sangat terhad.

“Justeru pengunjung digalakkan mendapatkan perkhidmatan ejen pelancongan dalam bentuk car pool bagi tujuan kawalan trafik di kawasan tersebut. Pakej yang ditawarkan oleh pihak ejen pelancongan untuk ke TER Mossy Forest adalah berdasarkan harga pasaran dan permintaan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN