PETALING JAYA: Kesemua pelajar Malaysia yang terjejas teruk akibat banjir di Queensland, Australia sejak beberapa hari lalu berada dalam keadaan selamat dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kumpulan pelajar terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, pelajar dan rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) yang tinggal di Queensland.
Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan, sehingga kini, keadaan pelajar yang terlibat adalah selamat dan Education Malaysia Australia (EMA) sedang memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.
“Urusan perpindahan dan kebajikan pelajar terbabit dilaksanakan dengan koordinasi bersama agensi lain termasuk Pejabat Mara Australia, Pejabat Pendidikan dan Latihan New Zealand, Pejabat Malawakil Canberra, wakil penaja iaitu Petronas dan Kementerian Pendidikan serta Persatuan Pelajar Malaysia-MASCA National dan MASCA Queensland.
“EMA menasihatkan pelajar lain yang terjejas supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara memandangkan kemungkinan berlaku bekalan elektrik dan air diputuskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu lagi, pihaknya sentiasa berhubung dengan EMA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil.
Pelajar dan ibu bapa yang mempunyai pertanyaan mengenai situasi semasa di Queensland boleh menghubungi EMA di talian +61 484 570 400 (Muhammad Afiq) atau +61 420 201 781 (Kartini) atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628. – UTUSAN