Pelajar selamatkan dua beranak daripada lemas terima penghargaan

Pelajar selamatkan dua beranak daripada lemas terima penghargaan

MOHAMMAD Amirul Aiman Zailani (tengah) bersama Nurul Ain Shahira (kiri) dan mereka,  Noor Akhmar Izzaty melihat sijil penghargaan yang diterimanya sempena  sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Perak Tengah, Seri Iskandar  dekat Parit, Perak, hari ini.  - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Keberanian seorang pelajar lelaki  menyelamatkan seorang wanita dan anaknya daripada lemas selepas kereta mereka terjunam ke dalam tali air di Kampung Gajah pada 17 Mac lalu, mendapat penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Mohammad Amirul Aiman Zailani, 17, menerima sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Ketua Polis Perak Tengah, Deputi Superintenden Mohd. Uzir Ismail sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar  di sini, hari ini. 

Selain Mohammad Amirul Aiman, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diwakili Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin dan enam anggota BBP Teluk Intan diwakili Mohamad Badrun Mohd. Said yang terbabit operasi berkenaan turut menerima sijil penghargaan. 

Mereka antara 110 individu di daerah ini termasuk anggota polis menerima sijil berkenaan.

Menurut Amirul Aiman, dia tidak pernah menyangka menerima penghargaan daripada polis kerana ikhlas membantu wanita dan anaknya itu disebabkan nyawa mereka dalam bahaya. 

“Apabila diberitahu supaya hadir ke pejabat polis di Seri Iskandar, saya terkejut dan kemudian kakak  beritahu polis hendak beri sijil penghargaan kerana membantu menyelamatkan nyawa seorang wanita dan anaknya. 

“Rasa bersyukur dan terharu tetapi pada masa sama gementar sebab kena naik atas ambil sijil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan itu.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak itu meluahkan rasa sedih kerana gagal menyelamatkan seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia lima tahun dalam kejadian itu.

Menceritakan detik kejadian, Amirul Aiman berkata, ketika itu dia bersama ibunya, Roslina Osman, 47, serta kakaknya, Nurul Ain Shahira, 21, dalam perjalanan pulang daripada Teluk Intan ke rumah mereka di Felcra Seberang Perak sekitar pukul 5.30 petang. 

“Apabila tiba di sekitar Bukit Chawi, seorang lelaki menahan kereta kami dan memberitahu ada kereta terjunam ke dalam tali air tetapi dia tidak pandai berenang untuk menyelamatkan mereka. 

“Saya meminta izin ibu untuk menyelamatkan mereka lalu ibu benarkan dan saya terus terjun untuk membawa mangsa dan anaknya ke tepi sambil berpaut pada tali yang dihulur lelaki yang menahan kereta kami,” katanya. 

Menurutnya, selepas membawa dua beranak itu naik, wanita tersebut meminta dia menyelamatkan seorang lagi anaknya di dalam kereta, tetapi ketika itu kenderaan berkenaan sudah tenggelam.

“Saya sangat sedih bila teringat semula kerana wanita  itu meminta saya selamatkan anaknya tetapi ketika saya menyelamatkan mereka, hanya bahagian belakang kereta sahaja kelihatan dan bila saya menoleh sekali lagi ia sudah tenggelam,” katanya. 

Dalam kejadian 17 Mac lalu, seorang kanak-kanak lelaki lima tahun lemas selepas kereta Honda City dinaiki terjunam ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah.  Mayat Muhamad Harith Sulayman Mohd. Hani ditemukan pada pukul 8.15 malam,manakala ibu serta adik mangsa berumur empat tahun pula terselamat.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala Seberang Perak sebelum kereta itu terbabas kerana mengelak lopak air. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN