KUALA LUMPUR: Usul desakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya diadakan awal berkemungkinan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam esok.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau bagaimanapun tidak tahu mengenai usul yang akan dibawa dalam mesyuarat berkenaan, namun mengambil kira apa yang disampaikan malam tadi, ia merupakan sebahagian perkara yang akan dibincang bersama dalam mesyuarat tersebut.
“Boleh jadi sebab kita jawatankuasa usul adalah Naib Presiden kedua, dia yang akan bentangkan usul apa yang akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung UMNO. Dia akan datang daripada Jawatankuasa Usul kerana Jawatankuasa Usul mengumpul segala usul di seluruh 190 bahagian, tidak termasuk Tanah Merah yang digantung.
“Jawatankuasa Usul akan mengkategorikan mengikut sektor-sektor. Jadi, selalunya begitulah kita punya usul mencorakkan apa yang diputuskan di peringkat bahagian.
“Saya pun tidak tak tahu apa usul itu, tetapi mengambil kira saya cakap malam ini, akan dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bagi Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), malam ini.
Terdahulu, Mohamad menegaskan PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin berdasarkan lima faktor.
Jelasnya, dengan melihat kedudukan pihak lawan yang kini ternyata lemah, ia memberi peluang kepada UMNO untuk meraih kemenangan sebagaimana sebelum ini. – UTUSAN











