KUALA LUMPUR: UMNO dijangka bergerak secara solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa bergabung dengan mana-mana gabungan atau perikatan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, parti itu sama sekali tidak akan berpakat dengan parti yang disifatkan sebagai bermata keranjang dan bermain pelbagai kolam dengan mengharapkan keuntungan daripada pelbagai pihak.
Katanya, UMNO dalam masa yang sama menyatakan pendirian tegas tidak akan berpakat dengan DAP dan parti yang ditubuhkan untuk menggantikan UMNO.
“Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, pakatan dan gabungan. Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa.
“UMNO mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui ‘perjanjian bersama’ atau ‘coalition agreement’ yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini. Ia wajar menjadi rukun dan tiang seri yang mendasari kerjasama pembentukan kerajaan,” katanya dalam ucapan Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini. –UTUSAN











