KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen UMNO diberi peringatan agar tidak membuat sebarang kenyataan yang bercanggah dengan pendirian kepimpinan parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka dalam masa yang sama perlu berpandukan kepimpinan parti itu dengan tidak menentukan hala tuju sendiri.
Malah katanya, UMNO sama sekali tidak akan membenarkan sesiapa juga melupakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang mewakili parti itu.
“Mereka (Ahli Parlimen UMNO) bukan mewakili kelompok tertentu dan pemimpin tertentu. UMNO tidak boleh membiarkan pendirian dan ketetapannya menjadi terpencil disebabkan sikap segelitir Ahli Parlimen.
“Ini adalah satu kelemahan yang mesti dibanteras oleh UMNO,” katanya dalam ucapan Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini. – UTUSAN











