BUTTERWORTH: Meskipun tidak semeriah dulu dan pernah menjadi tular kerana dikatakan ‘seperti nyawa-nyawa ikan’, kira-kira 200 peniaga di kompleks Ropewalk Bagan, Taman Selat di sini tetap bertahan untuk mencari rezeki.
Timbalan Pengerusi Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Berhad, Abdul Wahab Abdul Rahman, 65, berkata, kehadiran pengunjung ke kompleks tersebut atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai pasar karat Taman Selat agak berkurangan ketika pandemik.
Bagaimanapun, ujarnya, lokasi yang pernah menjadi tumpuan suatu ketika dulu khususnya sebelum pandemik Covid-19 melanda masih menerima kunjungan orang ramai setiap kali tibanya hari minggu.
“Hari minggu seperti Sabtu dan Ahad memang ramai dan meriah. Kalau hari biasa memang nampak perlahan.
“Tapi, peniaga-peniaga di sini tetap akan buka kedai walaupun orang tak berapa ramai pada hari-hari tertentu,” katanya yang juga merupakan peniaga ubat-ubatan dan herba di pasar itu ketika ditemui.
Tinjauan Utusan Malaysia di kompleks berkenaan juga mendapati kebanyakan kedai yang rata-ratanya menjual pakaian, barangan elektronik, barangan antik, restoran dan sebagainya masih beroperasi seperti biasa di sebalik rakaman video telah tular dalam media sosial yang mendakwa pasar tersebut diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan.
Mengulas dakwaan itu, Abdul Wahab menyifatkan video tular tersebut mempunyai hikmah tersendiri kerana dari perspektif yang lain orang ramai boleh mengunjungi kompleks tersebut dengan memberi sokongan kepada lebih 200 peniaga di situ.

Sementara itu, seorang peniaga pakaian Wan Fatimah Md. Hashim, 60, berkata, meskipun kekurangan pelanggan, dia bersyukur kerana mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk menganjurkan program keusahawanan di kompleks tersebut yang sudah menjadi identiti peniaga di Taman Selat.
Ropewalk Bagan Taman Selat dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi sehingga 3 petang adalah merupakan identiti peniaga di Seberang Perai yang menjual aneka barangan dan makanan termasuk jeruk, pakaian, ubatan, barangan antik dan pelbagai barangan lain. – UTUSAN