PETALING JAYA: Kemunculan parti politik baharu di negara ini hanya bersifat kosong tanpa ada idea bernas yang unggul, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO itu berkata, selain itu parti baharu juga tidak punya struktur dan pengalaman dalam politik.
Malah katanya, beliau melihat kemunculan parti politik baharu hanya hidup dibuai dan di lambung sentimen.
“Rakyat tidak melihat kemunculan parti baharu yang dapat memenuhi cita-cita bangsa dan tanah air.
“Parti seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga tidak mempunyai ideologi dan pemikiran baharu yang dapat menyakinkan serta mempersonakan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, pergerakan parti politik baharu sebaliknya perlu disusuli dengan tawaran baharu yang lebih konkrit.
“Demokrasi membenarkan kebebasan dalam berekspresi dan bercita-cita. Justeru penubuhan pergerakan politik mestilah demi melangsungkan cita-cita bangsa dan tanahair.
“Ia wajar sarat dengan ideologi dan pemikiran baru, didasari idea yang lebih lunak, menyakinkan dan mempersonakan bangsa.Rakyat tidak melihat semua itu dalam Muda, Pejuang, PBM, Warisan atau parti baharu yang lain,” jelasnya. – UTUSAN