KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.6 bilion nilai kerugian atau 51,631 kes di seluruh negara berhubung kegiatan penipuan pembelian dalam talian direkodkan kerajaan dalam tempoh 2019 hingga 2021.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, kes pembelian dalam talian untuk tempoh dua tahun itu adalah yang tertinggi berbanding kes-kes lain iaitu sebanyak 18,857 kes diikuti 15,546 kes melibatkan pinjaman tidak wujud.
Bagaimanapun beliau berkata, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi sindiket penipuan dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat.
“Kerajaan juga mewujudkan saluran akaun Facebook ‘Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police’ untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai skim pelaburan tidak wujud ini.
“Satu portal juga telah dibangunkan oleh PDRM bagi memudahkan orang awam membuat semakan nombor telefon sindiket atau akaun-akaun bank digunakan sindiket dalam urusan penipuan dan ia boleh dicapai melalui pautan CCID portal.
“Selain itu, kerajaan menjalan kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk sesi wawancara bersama Pegawai Kanan Polis, Khutbah Jumaat Khas manakala High Profile Policing (HPP) dan Meet & Greet akan dilaksanakan di semua peringkat kontinjen dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan oleh Su Keong Seong (PH-Kampar) supaya kerajaan memperincikan statistik kes-kes penipuan pembelian dalam talian dan langkah menangani isu tersebut. – UTUSAN










