KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia tidak terbabit secara langsung dalam pelan rundingan damai Rusia-Ukraine.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, Malaysia memilih memberi sokongan melalui negara lain yang aktif dalam perbincangan rundingan damai tersebut.
“Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara itu dan kerajaan tidak mahu menunjukkan pembabitan secara terus.
“Ada beberapa negara sahabat kita aktif dalam rundingan itu dan kita sudah menyampaikan sokongan kita kepada mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dan bantuan yang telah disalurkan.
Menurut Saifuddin, antara 14 hingga 24 Februari lalu, seramai 13 rakyat Malaysia keluar secara sukarela dari Ukraine dan pada 26 Februari lepas, sebanyak sembilan lagi termasuk petugas kedutaan dibawa keluar dari negara tersebut.
Katanya, sehingga hari ini, terdapat empat lagi rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak kedutaan masih berada di Ukraine dan ada dalam kalangan mereka berkahwin dengan rakyat tempatan di sana.
“Kita sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine, kita bersedia untuk membantu jika mereka ini ingin keluar termasuk menguruskan dokumentasi dan pengeluaran sijil perakuan cemas.
“Rakyat Malaysia yang masih di Ukraine juga diminta menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland. sekiranya memerlukan sebarang bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai video berdurasi 45 saat dimuat naik dalam talian yang mendakwa sekumpulan pelajar Malaysia masih terkandas di Ukraine, beliau berkata, sehingga kini, tiada pengesahan dapat dibuat ke atas dakwaan berkenaan.
“Saya ingin menggesa supaya mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan, untuk segera berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN