KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mencadangkan supaya Akta Penggal Tetap diwujudkan bagi memastikan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya dilakukan apabila penggalnya berakhir sekali gus dapat menjimatkan kos mengadakan pilihan raya yang tidak dirancang atau di luar jangka.
Beliau berkata, United Kingdom (UK) yang mengamalkan sistem Westminster mempunyai Akta Parlimen Penggal Tetap supaya Parlimen dibubarkan pada tarikh tetap yang bertujuan membendung krisis politik yang merugikan negara dan rakyat.
Katanya, undang-undang negara itu juga mewajibkan pilihan raya berkenaan diadakan sekurang-kurang sekali setiap lima tahun, namun boleh diadakan lebih awal jika Perdana Menteri menasihati raja untuk melaksanakannya.
“Perdana Menteri sering menggunakan mekanisme ini untuk mengadakan pilihan raya sebelum tamat penggal lima tahun dan kadangkala agak awal.
“Sesetengah pengkritik melihatnya sebagai memberi kelebihan yang tidak adil kepada Perdana Menteri yang sedang berkhidmat. Akta Parlimen Penggal Tetap telah menghapuskan kuasa Perdana Menteri ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) juga mahu Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum penggal Parlimen berakhir.
“Sekarang, beberapa kerajaan negeri khususnya Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah mengumumkan mereka tidak akan membubarkan DUN hingga tamat tempoh penggal ini.
“Begitu juga Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang mengumumkan bahawa mereka tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat tempoh penggal ini, iaitu pada 2023.
“Saya meminta Perdana Menteri memberi satu jaminan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sampai ke penghujung penggal ini. Ini sangat-sangat penting untuk mengelak daripada pembaziran,” katanya. – UTUSAN










