KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun membuat pindaan terhadap keputusan undi belah bahagian mengenai usul kerajaan melanjutkan kuat kuasa bagi Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang gagal diluluskan semalam.
Azhar berkata, pihaknya diberitahu terdapat kekhilafan semasa proses undi belah bahagian apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh ditandakan sebagai tidak hadir sedangkan beliau hadir dan terlibat dalam sesi undian berkenaan.
Justeru, kata Azhar, keputusan semalam yang menyaksikan seramai 84 ahli Parlimen yang menyokong usul lanjutkan kuat kuasa SOSMA tersebut kepada 85 ahli Parlimen.
Pun begitu, pindaan berkenaan tidak mengubah keputusan yang dicapai semalam memandangkan jumlah ahli Parlimen yang menolaknya masih menjangkaui kadar ahli Parlimen yang menyokong, iaitu 86 ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen Jempol (Datuk Seri Salim Sharif) yang juga penghitung undi bagi blok D1 memaklumkan telah terkhilaf menandakan ahli Parlimen Besut tidak hadir dalam senarai undi, walaupun sebenarnya hadir semasa undian.
“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 meminda keputusan belah bahagian bagi usul itu, daripada 84 undi bersetuju kepada 85 undi bersetuju.
“Jumlah ahli Parlimen tidak hadir pula dipinda daripada 50 kepada 49 sahaja manakala jumlah undi 86 yang tidak bersetuju tetap sama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen berkenaan selama lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.
Kerajaan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan 4(5) akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks terutama melibatkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.
Bagaimanapun, keputusan yang dimaklumkan Azhar semalam tidak memihak kepada kerajaan apabila jumlah undian yang tidak menyokong sebanyak 86 berbanding 84 ahli Parlimen yang bersetuju. – UTUSAN










