KUALA LUMPUR: Alasan mengapa Jabatan Perdana Menteri tidak mengambil pendekatan awal membetulkan dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja Melayu kerana ada ‘adab’ yang perlu yang perlu dijaga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan di luar bidang kuasanya.
“Kita (kerajaan) di dalam pentadbiran kita ada adab, ada tuan rumah dia. Kita tidak boleh langgar sembarangan kerana kita tidak boleh ambil atau mengeluarkan kenyataan di luar bidang kuasa.
“Saya harap Hulu Langat dapat memahami perkara ini,” katanya semasa semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (PH-Hulu Langat), membangkitkan isu menteri yang menyelia Jakim tidak membetulkan kenyataan lebih awal bagi mengelakkan kekeliruan orang awam.
Pada 10 Mac lalu, media tempatan melaporkan, memetik sumbernya, bahawa Jakim kini diletakkan bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu susulan pertemuan membabitkan Majlis berkenaan dengan jabatan itu.
Kata sumber, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Pengerusi Majlis Agama Kebangsaan manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalannya.
Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, laporan tersebut kurang tepat dan mengelirukan.
Manakala mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 baru-baru ini hanya menetapkan bahawa salah seorang dari raja pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi MKI selama dua tahun secara bergilir-gilir dan Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalannya.
Mengulas lanjut, kata Idris, Jakim kekal terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri hingga kini.
“Fungsi utama Jakim di bawah jabatan ini adalah untuk memperkasa penggubalan dan penyeragaman perundangan Islam di Malaysia, mengukuhkan penyelarasan pentadbiran Islam di seluruh negara dan memantapkan penyelarasan serta pendidikan Islam di peringkat Negeri dan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










