KUALA LUMPUR: Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 dijangka dilaksanakan Jun ini dengan peruntukan sejumlah RM450 juta.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, program diterajui kementeriannya itu akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Proses perolehan bagi inisiatif ini sedang dibuat dan dijangka dapat disempurnakan pada Mei ini dan dilaksanakan pada bulan Jun.
“Diharap inisiatif PerantiSiswa ini menjadi pelengkap kepada proses pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk terus berdaya maju seiring evolusi teknologi digital.
“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok,” katanya semasa sidang akhbar di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Mengulas lanjut lanjut, Annuar berkata, peranti berkenaan akan disediakan secara percuma kepada mahasiswa yang berkelayakan di IPT-IPT berkenaan supaya dapat menggunakan peranti tersebut dalam pembelajaran sehingga selesai tempoh pengajian.
Inisiatif PerantiSiswa melibatkan semua mahasiswa dalam golongan B40 yang belajar di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). – UTUSAN










