[PARLIMEN] Hutang isi rumah tinggi didorong pinjaman rumah, kenderaan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Hutang isi rumah tinggi didorong pinjaman rumah, kenderaan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peratusan hutang isi rumah yang dilaporkan berada pada kadar 89 peratus setakat Disember tahun lalu, didorong oleh pinjaman perumahan dan kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia susulan insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor dan pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh kerajaan serta swasta.

Oleh itu katanya, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu peminjam isi rumah yang berdepan kesukaran kewangan akibat pandemik Covid-19 khususnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, antara langkah yang diambil ialah menawarkan program nasihat dan bantuan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bantuan tunai, bantuan pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan baharu khusus untuk mangsa banjir.

“Pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan, terutama melalui Bank Negara dan industri perbankan bagi mengurangkan tekanan kewangan ke atas peminjam isi rumah serta menjamin kemampuan pembayaran hutang jangka panjang mereka.

“Langkah itu termasuklah menerusi bantuan kewangan khas bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi, subsidi upah dan Bantuan Prihatin Rakyat, selain kemudahan kepada peminjam untuk menstruktur semula hutang supaya ansuran pinjaman lebih bersesuaian dalam jangka panjang.

“Selain itu, Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) diperkenal untuk membantu peminjam golongan B50 dan mengekalkan daya tahan kewangan jangka panjang mereka.

“Peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat tertentu akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan ansuran pinjaman hingga 24 bulan keseluruhannya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) mengenai peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sebelum dan selepas pandemik Covid-19 serta pendekatan membantu isi rumah yang berdepan masalah kewangan.

Peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir 2017 ialah 82.6 peratus.

Nisbah itu mencatat sedikit penurunan kepada 82 peratus pada 2018, sebelum kembali meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019.

Selepas pandemik Covid-19, peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir 2020 ialah 93.2 peratus, dan pada akhir Disember 2021, secara agregatnya, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK berada pada paras 89 peratus.

Nisbah ini masih lebih tinggi berbanding nisbah dalam tempoh sebelum pandemik disebabkan purata pertumbuhan tahunan KDNK nominal bagi tempoh tahun 2020-2021 (1.3 peratus) yang turun mendadak sebanyak 5.3 mata peratusan berbanding bagi tempoh tahun 2017-2019 (6.6 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN