KUALA LUMPUR: Kadar hutang isi rumah negara yang meningkat kepada 93.2 peratus pada akhir Disember 2020 menurun kepada 89 peratus pada akhir Disember 2021.
Namun, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah menyifatkan, peratusan itu masih terlalu tinggi berbanding yang dicatatkan sebelum era pandemik Covid-19.
“Kalau kita lihat pada 2017, peratusan hutang isi rumah mencatatkan 82.6 peratus, 2018 (82 peratus), 2019 (82.7 peratus) dan pada akhir Disember 2020 hutang meningkat kepada 93.2 peratus tetapi akhir Disember 2021 nisbah hutang turun 89 peratus.
“Namun, peratusan ini sebenarnya masih lebih tinggi berbanding nisbah dalam tempoh sebelum pandemik disebabkan purata pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal pada 2020 dan 2021 yang mencatatkan 1.3 peratus, yang menurun mendadak sebanyak 5.3 peratus berbanding tempoh 2017, 2018 dan 2019,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau berkata, Kementerian Kewangan menyediakan pelbagai kaedah bagi mengurangkan hutang isi rumah di negara ini.
“Kita sediakan garis panduan pembiayaan bertanggungjawab sejak 2012 untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan dan membayar balik pinjaman masing-masing dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan beban hutang berlebihan.
“Kita juga mengharap dan menggalakkan isi rumah yang mempunyai masalah dengan pengurusan kewangan dan hutang untuk mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Kementerian Kewangan melalui Bank Negara juga sentiasa melakukan program meningkatkan tahap celik kewangan melalui jaringan pendidikan kewangan bagi memastikan rakyat dapat menguruskan kewangan dengan baik,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung peratusan hutang isi rumah negara. – UTUSAN