[Parlimen] Cuti bersalin kini 98 hari, cuti paterniti lelaki 7 hari

[Parlimen] Cuti bersalin kini 98 hari, cuti paterniti lelaki 7 hari

AWANG HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempoh cuti bersalin kini dilanjutkan daripada 90 hari kepada 98 hari manakala cuti paterniti lelaki dilanjutkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

Ini selepas Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan ahli Dewan Rakyat melalui undian suara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pindaan ini bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi.

“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga.

“Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, pemberian cuti paterniti amat penting bagi menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, selain peranan penting yang dimainkan sebagai suami atau bapa yang bertanggungjawab untuk menjaga keluarga.

“Kementerian Sumber Manusia berpandangan adalah wajar pekerja lelaki yang berkahwin diberikan cuti paterniti supaya mereka dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan bayi yang baru dilahirkan serta menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak,” katanya.

Ketika Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) bertanya mengenai ketetapan maksimum untuk lima kelahiran bagi pekerja lelaki mendapat cuti paterniti, Awang berkata akta ini akan disemak dari semasa ke semasa.

“Ini sebagai permulaan dan setiap dua tahun kita akan semak balik akta yang ada dan kita akui ada masih ada kelemahan, namun ini manfaat untuk semua kumpulan pekerja terutama B40,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa cuti paterniti itu diberikan kepada pekerja lelaki yang sudah berkahwin dan tidak terhad untuk satu isteri sahaja.

“Cuti ini hanya untuk pekerja lelaki yang sudah berkahwin dengan pasangannya, bekerja 12 bulan dengan majikan yang sama dan memaklumkan kepada majikan 30 hari sebelum isteri bersalin. Cuti ini boleh diambil mulai dari hari isteri bersalin,” katanya.

Akta Kerja atau Akta 265 digubal bagi memberi perlindungan dan kebajikan kepada golongan pekerja melalui penetapan terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan minimum, berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 20 ahli Parlimen terlibat dalam membahaskan pindaan itu meliputi 46 fasal yang merangkumi, antara lain, 28 fasal pindaan, 10 fasal baharu dan enam fasal yang dimansuhkan.

Antara fasal yang dipinda adalah fasal 12 iaitu pemanjangan cuti bersalin, fasal 20 dan fasal 21 iaitu pengurangan waktu kerja dan waktu kerja syif daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu dan fasal 22 iaitu pengasingan cuti hospitalisasi daripada kelayakan cuti sakit minimum.

Peruntukan baharu pula antaranya fasal 13 iaitu larangan pemberhentian wanita hamil, fasal 23 iaitu cuti paterniti lelaki, fasal 27 iaitu aturan kerja fleksibel dan fasal 36 yang mewajibkan majikan supaya mempamerkan notis pencegahan gangguan seksual di tempat kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya