ISKANDAR PUTERI: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, di sini mahu memastikan pembangunan pesat di wilayah berkenaan tidak meminggirkan golongan B40, termasuk masyarakat Orang Asli.
Sehubungan itu, Pandak Ahmad, mahu memastikan nasib dan kesejahteraan hidup golongan berkenaan akan terus terbela apabila kerajaan negeri baharu dimuktamadkan pada 12 Mac ini.
Menurutnya, hal itu penting kerana kumpulan masyarakat itu masih terkesan dengan kelumpuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.
“Iskandar Puteri merupakan satu nama yang ikonik dan melambangkan kemodenan di bandar raya Johor Bahru, ia juga menjadi pusat penempatan bagi pejabat-pejabat kerajaan.
“Namun, kira-kira 30 peratus penduduk di kawasan ini masih tergolong dalam kumpulan B40, termasuklah komuniti Orang Asli. Jadi ia adalah misi saya untuk memastikan kesejahteraan kehidupan mereka,” katanya selepas melakukan program walkabout di sekitar Iskandar Puteri, hari ini.
Tambah Pandak yang juga Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) itu, beliau telah mempunyai perancangan untuk melaksanakan beberapa projek yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.
Katanya, sebagai contoh di bandar Nusajaya ini ada perkampungan tradisional seperti di Sungai Melayu, Pendas dan di Kampung Melayu, Gelang Patah.
“Di kampung Sungai Melayu sudah ada gerak kerja untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi eko-pelancongan di mana ia akan memberi sumber pendapatan tambahan kepada yang terlibat.
1″Selain itu, saya berhasrat untuk melaksanakan perusahaan ternakan kupang yang boleh menjadi pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan di kawasan sekitar,” jelasnya. – UTUSAN










