Pakej mekanisasi hasil kubis berkualiti

Pakej mekanisasi hasil kubis berkualiti

DR. Ronald Kiandee (dua dari kanan) dan  Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Rendah di Gombak, Selangor, baru-baru ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Tanah Rendah diperkenal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mampu meningkatkan pengeluaran kubis negara dan menjimatkan kos buruh.

Ini kerana tanaman itu tidak lagi hanya ditanam di kawasan sederhana dan tanah tinggi, tetapi di kawasan tanah rendah. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pakej mekanisasi ladang bagi pengeluaran kubis tanah rendah itu mampu meningkatkan pengeluaran kubis negara memandangkan aktiviti secara manual memerlukan tenaga pekerja dan kos yang tinggi selain keluasan terhad serta produktiviti rendah.

“Varieti jenis ‘tahan panas’ membolehkan kubis bulat ditanam di kawasan tanah rendah bersuhu tinggi. Ini dapat menjamin bekalan tempatan selain mengurangkan kebergantungan import,” katanya ketika majlis pelancaran Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Rendah di Kundang, Gombak, dekat sini, baru-baru ini. 

Bersempena dengan majlis itu, beliau menyampaikan pakej mekanisasi kepada wakil petani dan menyerahkan manual penanaman kubis tanah rendah serta baja organik Biorichar kepada wakil peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Yang hadir sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan ketua-ketua jabatan serta bahagian kementerian itu.

Sementara itu, MARDI memaklumkan, institut itu akan mengkomersilkan pakej mekanisasi berkenaan di samping menggalakkan petani dan pengusaha yang berminat dengan tanaman kubis. 

Menurutnya, mana-mana pengusaha yang berminat, MARDI memberikan bantuan teknikal memandangkan tanaman itu berpotensi tinggi serta memberi pulangan hasil lumayan kerana permintaan yang meningkat dalam negara.

“Sebelum ini, MARDI  membangunkan teknologi tanaman kubis bunga di tanah rendah yang dilancarkan oleh Dr. Ronald pada Oktober 2020.

“Teknologi tersebut sememangnya bermanfaat kerana mampu memendekkan tempoh ia boleh dituai iaitu dalam satu hingga dua minggu selain mengurangkan risiko penyakit terhadap tanaman terbabit,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN