SEREMBAN: Sebanyak 435 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) yang boleh dikompaun bernilai RM123,700 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) bermula awal tahun ini sehingga 21 Mac lalu menerusi pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 – Tempat Larangan Merokok.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (Kesihatan Awam), Dr. Mohammad Faid Abd. Rashid berkata, jumlah kompaun dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKHT 2004 menerusi sejumlah 116 operasi bersepadu di seluruh negeri ini yang melibatkan 2,153 buah premis.
Menurutnya, pada 2021, sejumlah 346 operasi bersepadu di peringkat negeri dan daerah dilaksanakan yang melibatkan 7,957 buah premis.
“Hasil keseluruhan operasi ini juga sebanyak 457 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) yang boleh dikompaun bernilai RM137,950 dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKHT 2004,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di sini malam semalam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 90 premis diperiksa dan 66 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) dikeluarkan.
“Daripada jumlah tersebut sejumlah 30 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di premis makanan di bawah Peraturan 11(1)(d) yang bernilai kompaun RM 7,500.
“Turut dikeluarkan sebanyak lima notis atas kesalahan iaitu kegagalan tuan punya atau penghuni premis memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam premis di bawah Peraturan 12(1)(b) yang bernilai kompaun RM1,250 dan lain-lain kesalahan sebanyak 31 yang bernilai kompaun RM7,750 juga dikeluarkan,” tambah Dr. Mohammad Faid.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mengadakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa di negeri ini bagi memastikan pematuhan kehendak PPKHT yang bertujuan melindungi kesihatan orang awam. – UTUSAN










