PONTIAN: Polis masih berusaha mencari seorang nelayan yang dilaporkan hilang pada 12 Mac lalu di perairan Pulau Pisang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, minggu lalu dilaporkan terdapat penemuan mayat di perairan Rengit, Batu Pahat tetapi setelah pengesahan dilakukan ia tiada kaitan dengan kes nelayan tersebut.
“Gerakan mencari nelayan berusia 62 tahun itu masih dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kukup di samping bantuan daripada nelayan tempatan di lokasi di mana dia dilaporkan terjatuh.
“Setakat ini belum ditemukan mangsa yang terjatuh ketika menjaring ikan di perairan Timur Pulau Pisang pada pagi 12 Mac lalu,” katanya ketika ditemui sempena Hari Polis ke-215 peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian, hari ini.
Dalam kejadian berkenaan, nelayan warga emas tersebut dikatakan keluar menjaring ikan bersama dua rakannya.
Bagaimanapun ketika sampai di lokasi kejadian, bot tersebut melanggar satu objek menyebabkan tekong dan seorang nelayan terjatuh ke laut dengan tekong itu naik semula ke atas bot, namun mangsa tidak dapat dikesan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembukaan pintu sempadan negara melalui Kukup Laut, Mohammad Shofee memaklumkan masih menunggu perkembangan selanjutnya.
Katanya, sekiranya Terminal Feri Antarabangsa Kukup Laut beroperasi, pihaknya menempatkan pegawai dan anggota bagi memastikan mereka yang keluar dan masuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – UTUSAN










