PETALING JAYA: Dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara 31 ahli Parlimen yang tidak hadir ketika sesi pengundian Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, beliau hairan apabila terdapat dalam kalangan pemimpin kerajaan menjaja cerita kononnya PH ingin menggagalkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pihaknya bersama kerajaan.
Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, lebih baik mereka menjelaskan mengapa tidak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.
“Berdasarkan saksi Ahli-Ahli Parlimen yang hadir semalam waktu undian usul SOSMA, antara mereka yang tidak hadir untuk mengundi termasuklah Bagan Datuk, Pekan, Pagoh dan Pontian.
“Kalau dua tiga daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?” Soal beliau dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan. – UTUSAN










