DUNGUN: Keterujaan murid tahun satu memulakan sesi persekolahan terbantut selepas diserang seekor kera di halaman rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 petang itu, mangsa, Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, 7, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman akibat kecederaan di bahagian betis dan tangan.
Ibunya, Suzilawati Ismail, 39, berkata, sebelum kejadian, dia bersama dua anaknya ke rumah kakak yang terletak bersebelahan.
“Tetapi, mangsa pulang dahulu dan saya terkejut apabila mendengar jeritannya meminta tolong ketika kami duduk di beranda rumah kakak. Suami, Zaharudin Alias, 43, yang menyedari anak bongsu kami diserang kera dipercayai milik penduduk segera meluru ke arah mangsa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Suzilawati berkata, ketika itu kaki dan tangan Muhammad Umar Ziyad sudah berlumuran darah dengan kesan koyakan yang besar.
Katanya, dia dan suami bergegas ke Hospital Dungun, namun keadaan luka yang dalam hingga ke tulang menyebabkan anaknya terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman pada pukul 10 malam.
“Anak saya menjalani pembedahan kecil untuk mencantumkan semula kulitnya yang koyak, namun tidak pasti berapa jahitan yang diterimanya,” katanya. – UTUSAN










