TAMPIN: Pelbagai cara dilakukan oleh guru-guru bagi memastikan anak murid mereka ceria untuk hadir pada hari pertama persekolahan walaupun terpaksa ‘berkorban’ menyarung maskot kartun.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, di sini, seorang guru kaunseling, Nur Sabrina Roslan, 38, sanggup menyarung maskot kartun Minnie Mouse seawal pukul 6.30 pagi bagi menyambut kira-kira 450 orang murid sekolah tersebut termasuk 68 murid tahun satu.
Menurutnya, usaha tersebut termasuk memberikan tisu basah kepada setiap murid dilakukan dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah berkenaan.
“Kami mahu wujudkan persekitaran sekolah yang ceria supaya murid-murid lebih selesa di sekolah dan dapat mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Usaha kami membuahkan hasil apabila tahun ini tiada murid yang datang dalam keadaan menangis dan kesemuanya kelihatan ceria. Saya rasa usaha menyewa maskot ini dengan harga RM50 juga berbaloi selepas melihat wajah-wajah ceria anak murid yang saya rasa mereka juga rindu untuk belajar secara bersemuka,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum SK Tengku Zainun, Zainidar Idris berkata, dalam usaha memupuk norma baharu dalam kalangan murid di sekolah susulan pandemik Covid-19, pihaknya turut memberikan tisu basah kepada semua murid.
Menurutnya, terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang perlu dididik dalam kalangan murid sekolah bagi kebaikan bersama.
“Murid-murid juga diwajibkan membasuh tangan ketika sampai di sekolah dan sebelum balik sekolah,” katanya lagi.
Seramai 190,602 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan di Negeri Sembilan tahun ini. Daripada jumlah tersebut seramai 106,139 orang murid sekolah rendah dan baki selebihnya iaitu 84,463 orang pelajar sekolah menengah.- UTUSAN










