KULAI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk melepaskan jawatan tertinggi gabungan tersebut susulan kekalahan yang dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Muhyiddin berkata, beliau bersedia untuk mengambil tanggungjawab tersebut sekiranya itu adalah keputusan yang baik demi kebaikan gabungan berkenaan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara itu terserah kepada pimpinan gabungan berkenaan yang membabitkan Bersatu, Pas dan parti Gerakan.
“Saya bersedia mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang diraih pada PRN Johor ini termasuklah melepaskan jawatan ini kalau mereka kata saya tidak perlu pegang lagi (Pengerusi PN).
“Menang ke, kalah ke, saya tetap kena ambil tanggungjawab. Saya bersedia pada bila-bila masa (melepaskan jawatan) kalau ahli parti fikirkan begitu. Kita sebuah gabungan yang mengamalkan hak demokrasi, kalau kata nak tukar, saya terima,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama, Senai di sini sebentar tadi.
PRN Johor kali ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan baharu secara solo.
Pada PRN Johor itu menyaksikan PN hanya memenangi tiga kerusi bagi kawasan DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, walaupun terkilan dengan keputusan itu namun ada sokongan daripada rakyat hingga memenangi tiga kerusi itu.
Beliau berkata, PN akan membuat kaji selidik bagi mengesan punca tidak memenangi kerusi yang lebih besar pada pentas PRN Johor ini.
“Bukan mudah bagi kita yang datang sebagai ‘underdog’, walaupun dahulu kita menang besar, itu pun atas tiket parti lain, jadi ada perbezaan.
“Syukur walaupun bertanding pertama kali PRN di Johor atas nama PN, umumnya Ada sokongan pengundi. Ini menunjukkan petanda kita diterima dan perjuangan ini tak akan terputus walaupun keputusan tak memihak kepada Kita,” katanya. – UTUSAN