Muda puji kecekapan petugas SPR - Utusan Malaysia

Muda puji kecekapan petugas SPR

AMIRA AISYA ABD. AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz selamat menunaikan tanggungjawab dengan mengundi di Pusat Mengundi Dewan Kampung Melayu Majidee, di sini.

Amira Aisya yang berpakaian baju kurung putih tiba di pusat pengundian itu kira-kira pukul 8.30 pagi bersama ahli keluarga dan penyokongnya.

Calon Muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu berpuas hati dengan tatacara serta proses mengundi di kawasan pusat tersebut.

“Alhamdulillah telah selamat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang prosesnya berjalan lancar. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini menjalankan tugas dengan efisyen, tidak ada aduan yang boleh dibuat. Saya ambil peluang ini untuk memanggil lebih ramai lagi pengundi khususnya orang muda yang pertama kali mengundi, jangan sia-siakan peluang ini untuk keluar mengundi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir ke pusat mengundi itu ialah calon Muda di DUN Larkin, Rasid Abu Bakar yang membuat tinjauan ke lokasi berkenaan. 

Menurut Rasid, bilangan penduduk keluar mengundi ketika ini agak ramai bagi menjalankan tanggungjawab mereka dan berharap momentum itu diteruskan sehingga petang nanti.

“Sejak awal pagi saya sudah melawat beberapa kawasan mengundi, dilihat agak ramai turun mengundi setakat ini. Ini adalah hak demokratik seluruh rakyat seluruh Malaysia untuk melantik wakil rakyat mewakili kita, gunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya yakin anak muda cakna dan tahu tanggungjawab masing-masing dan percaya lebih ramai yang akan keluar mengundi, harapnya kita dapat tutup hari pengundian dengan peratusan keluar mengundi sangat tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Rasid akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN