MELAKA: Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PPM di Kelab Tasik Putrajaya, hari ini.
Mohamad Ali yang juga Presiden Persatuan Petanque Melaka menang jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Ahmad Khirrullah Mansor tidak mempertahankannya.
Ia selepas PPM mengumumkan tiada calon mengemukakan pencalonan bagi jawatan itu pada mesyuarat badan induk berkenaan.
Setiausaha Kehormat PPM, Shaiful Nizam Shahrin berkata, turut menang tanpa bertanding ialah jawatan Timbalan Presiden yang disandang Wan Daud Wan Ismail dari Persatuan Petanque Selangor.
Menurutnya, bagi dua jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Datuk Zulkifli Abd. Ghani yang juga penyandang jawatan, manakala muka baharu yang terpilih ialah Mejar P. Subarao dari Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mohamad Ali mengucapkan terima kasih kepada 16 ahli gabungan PPM dan lima ahli bersekutu kerana telah memilihnya untuk menerajui badan induk itu bagi sesi 2022-2026.
“Insya-Allah saya akan cuba membawa perubahan baharu dalam PPM berhubung kemelut yang dihadapi dengan The Asian Boules Sport Federation (ABSC) dan Federation International Petanque ET Jeu Provencal (FIPJP),” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohamad Ali menambah, kemelut bermula apabila keanggotaan PPM dibatalkan di peringkat Asia oleh ABSC dan dunia melalui FIPJP pada 2019.
Sehubungan itu, jelasnya, PPM akan mengadakan rundingan dengan kedua-dua badan antarabangsa berkenaan bagi menerima semula keanggotaan PPM.
“Sebelum itu jawatankuasa kepimpinan baharu PPM yang dilantik akan mengadakan perundingan dengan Malaysia Boules Sport Federation (MBSF) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN