8 tahun waris MH370 masih tunggu jawapan - Utusan Malaysia

8 tahun waris MH370 masih tunggu jawapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sebelum kejadian dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China terus tiada pertunjuk walaupun banyak pakar mengemukakan pelbagai teori berhubung pesawat itu.

Waris kepada 239 penumpang dan kru pesawat itu terus menunggu jawapan kerana hairan bagaimana teknologi serba canggih ketika ini gagal mengesan kedudukan pesawat tersebut.

Bagaimanapun, menyingkap semula ‘perjalanan’ sepanjang kehilangan MH370 itu, Profesor Fakulti Kejuruteraan di Sekolah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Wan Khairuddin Wan Ali berkata, kelemahan komunikasi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjadi antara faktor mengakibatkan usaha pencarian MH370 buntu.

Menurut beliau, sewaktu MH370 membuat lencongan ketika berada dalam ruang udara di Vietnam, menara kawalan komunikasi ATM mengesan keberadaan dan tindakan pesawat itu.

Kata Wan Khairuddin, susulan itu pihak ATM meminta pengesahan dari CAAM berhubung tindakan juruterbang MH370 namun ketika itu tiada komunikasi daripada CAAM yang sekali gus menyukarkan usaha mengesahkan keberadaan pesawat MH370 sebelum hilang.

“Ini pandangan saya, bahawa tatacara siasatan ke atas kehilangan MH370 telah dibuat secara paling baik, dengan menggunakan semua peralatan dan perkakasan yang kita ada ketika itu. Jadi saya fikir, kita telah melakukan yang terbaik dalam usaha mencari pesawat tersebut.

“Namun saya nampak dari sudut komunikasi perlu diperkemas antara CAAM dengan menara kawalan ATM. Di situ perlu ada proses komunikasi yang lancar.

“Kita difahamkan, ATM mengesan pesawat MH370 sehingga ke satu lokasi, namun tiada komunikasi dengan CAAM. Apabila dikatakan pesawat itu melencong, pihak tentera dapat kesan tapi mereka tiada pengesahan dengan CAAM,” katanya.

Lencongan

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, ketika lencongan, pesawat MH370 berada di ruang udara Vietnam dan urusan komunikasi pada waktu itu mungkin diambil alih oleh pihak berkuasa Hanoi.

“Mungkin sebab itu tiada pengesahan CAAM ketika it, Apa yang saya ketahui pesawat itu sudah bertukar arah dan sepatutnya Hanoi ambil alih. Sebab ia melepasi Teluk Siam berhampiran Vietnam menuju ke Hanoi.

“Jadi selepas satu garisan, CAAM sudah sign off dan bidang kuasa sudah diambil alih oleh pusat kawalan udara Vietnam. Kemudian, ada laporan menyebut pesawat itu berpatah balik.

“Jadi, apabila pesawat itu berpatah balik, sepatutnya bahagian ketenteraan kita akan bertanya semula kepada CAAM, kenapa pesawat ini begitu?

“Di sini menunjukkan mungkin tiada komunikasi yang jelas antara kedua-dua pihak iaitu menara kawalan komunikasi tentera dengan CAAM,” katanya.

Sementara itu, sumber dari sebuah agensi perisikan tanah air memberitahu Utusan Malaysia, setakat ini siasatan berhubung kehilangan MH370 diteruskan tetapi tiada perkembangan mahupun penemuan bukti-bukti baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×