Mengapa layan kami dua darjat? - Muda

Mengapa layan kami dua darjat? – Muda

MOHD. Azrol Ab. Rahani (tengah) bersama ahli Muda menunjukkan kelulusan permit yang diperolehi serta gambar ceramah BN yang melanggar SOP pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Muda DUN Bukit Permai, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kecewa apabila parti baharu itu menerima layanan dua darjat sejak hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula.

Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani berkata, ia susulan ceramah yang diadakan di pekarangan bilik gerakan Muda diserbu polis, petugas Kementerian Kesihatan dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada pukul 8.40 malam semalam.

Beliau berkata, alasan pemberhentian ceramah Muda yang diberikan oleh pihak berkuasa adalah berkaitan lokasi ceramah terbuka yang dikatakan di luar bangunan premis dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor.

“SOP tak menyatakan yang kami tak boleh buat ceramah di sekitar pekarangan bilik gerakan manakala pihak berkuasa tetap bertegas kami perlu buat ceramah di bilik gerakan sahaja.

“Bilik gerakan kami tak sesuai bagi mengadakan ceramah kerana terlalu kecil untuk muatkan 100 orang, sebab itu kami putuskan buat ceramah di sekitar bilik gerakan. Kami patuhi segala SOP dan sudah mendapatkan permit tetapi tetap dihalang berulang kali.

“Apa yang hairan, mereka (penguat kuasa) sudah berada di kawasan berhampiran sejak pukul 7 malam lagi, kenapa tidak tegur kami sejak awal lagi ketika sedang buat persiapan mengadakan ceramah itu,” soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohd. Azrol yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, ia bukan pertama kali pihaknya ‘diganggu’, malah beliau sendiri dikompaun RM1,000 disebabkan melagakan penumbuk sewaktu hari penamaan calon, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Muda bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan telah mengambil langkah segera menggerakkan sukarelawan Muda di kawasan luar bangunan bagi memastikan pematuhan SOP dilakukan.

“Bagaimana kami dilayan sebegini rupa sedangkan layanan terhadap parti politik seteru seperti Barisan Nasional (BN) adalah berlainan yang membolehkan penganjuran kempen berskala besar. Contoh di Felda Taib Andak, Isnin lalu BN ceramah di luar bilik gerakan mereka dan melebihi masa yang ditetapkan, gambar yang dirakam menunjukkan pukul 10.30 malam.

“Semua sedia maklum SOP berkempen hanya sehingga 10 malam sahaja, ini bermakna mereka bukan sahaja langgar SOP lebih masa malah turut mengadakan ceramah di luar bilik gerakan. Jadi, kenapa kami diberi layanan dua darjat sejak hari pertama,” katanya. 

Biarpun berdepan pelbagai kekangan, beliau berkata, ia tidak sekali mematahkan semangat Muda meneruskan perjuangan dengan mengadakan ceramah termasuk ceramah mega bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya