Menang di Johor, menang PRU15 - Zahid Hamidi - Utusan Malaysia

Menang di Johor, menang PRU15 – Zahid Hamidi

AHMAD Zahid Hamidi berucap di hadapan jentera MIC ketika mengunjungi bilik gerakan parti itu di Tampoi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan itu akan mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya mereka mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, hal itu ekoran ‘feel good factor’ yang terdapat dalam kalangan masyarakat khususnya pengundi pada ketika ini.

“Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, PRN Johor akan bermula dan kemenangan BN di negeri ini adalah petunjuk kepada PRU15. Jika kita menang di Johor saya yakin kita juga akan raih kemenangan di peringkat Malaysia.

“Jadi untuk itu, kita perlu memenangkan calon-calon BN terlebih dahulu, kerana kemenangan calon BN sama ada daripada UMNO, MCA dan MIC akan beri kemenangan kepada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri program ramah mesra di Bilik Gerakan MIC Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee.

Mentadbir negeri

Tambah Ahmad Zahid, hanya gabungan itu yang mampu mentadbir negeri dan negara ini dengan sifat kepelbagaian dan kemajemukan kaum, berbanding parti politik atau gabungan lain.

Katanya, BN dan penyokong mereka juga tidak seharusnya melihat kepada latar belakang calon sama ada mereka Melayu, Cina atau India sebaliknya perlu memberi kepercayaan kepada logo dacing yang dibawakan secara bersama.

“Dalam PRN Johor ini, MCA bertanding 15 kerusi, MIC empat kerusi manakala UMNO 37 kerusi, tetapi apa yang penting bukan soal banyak atau sedikit kerusi itu tetapi sebaliknya berapa kerusi boleh dimenangi, itu lebih penting.

“Kita lihat tiada keikhlasan dalam kerjasama antara kaum apabila melibatkan parti-parti politik lain, hanya di BN dapat kita lihat UMNO tolong MIC, MCA tolong UMNO dan MIC tolong MCA.

“Perikatan Nasional (PN) misalnya, mereka kononnya mahu jadi kerajaan di Johor, mereka ada calon Melayu, ada calon Cina tetapi tiada calon India, itu ertinya mereka tidak prihatin dan tidak menghargai pengundi India di Johor.

“Kononnya Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) prihatin, tetapi dia tidak prihatin dengan masyarakat dan pengundi India,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya