KUALA LANGAT: Syarikat McDonald’s Malaysia membayar zakat perniagaan sebanyak RM600,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun ini.
Menurut Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, pembayaran tahun ini merupakan jumlah tertinggi yang dibayar oleh syarikat tersebut sejak mula menjadi pembayar zakat enam tahun lalu.
“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras McDonald’s Malaysia. Sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mahupun melalui sumbangan zakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Perniagaan McDonald’s Malaysia kepada LZS di Restoran McDonald’s cawangan Banting hari ini.
Yang hadir sama ialah Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd.Fikri Naim Harun.
Azhar berkata, sumbangan zakat kali ini amat bermakna di mana pihaknya turut menyumbang bagi membantu mangsa banjir di Daerah Kuala Langat.
Katanya lagi, setakat tahun 2021, pihak McDonald’s Malaysia telah menyumbang zakat perniagaan sebanyak RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh negara.
Sementara itu Muhd.Fikri Naim berkata, penglibatan pihak korporat bagi pembayaran zakat sentiasa dialu-alukan.
“LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat di luar sana seperti McDonald’s Malaysia demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor.
“Lebih-lebih lagi jumlah keluarga asnaf fakir miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang.Ini bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat dengan pertambahan asnaf di negeri ini,” katanya.
Untuk rekod, McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte.Ltd.sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016.
Pengambilalihan tersebut menjadikan syarikat tersebut dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya umat Islam.
Selain membayar zakat, McDonald’s Malaysia, juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen halalnya kepada pengguna dalam semua aspek perniagaan. – UTUSAN