MB nafi abai keluarga mangsa runtuhan batu kuari - Utusan Malaysia

MB nafi abai keluarga mangsa runtuhan batu kuari

SAARANI Mohamad (empat dari kiri) meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus pada kejadian runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menyangkal dakwaan mengatakan keluarga mangsa kejadian runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands terabai dan tidak menerima bantuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebaliknya berkata, kebajikan keluarga mangsa sentiasa diambil perhatian dan diberi tindakan sewajarnya oleh agensi berkaitan termasuk syarikat kuari.

Katanya, Setiausaha Khas Menteri Besar yang bertanggungjawab kepada Orang Asli juga telah datang berjumpa keluarga mangsa bagi menyampaikan bantuan.

“Saya tidak pasti apa bantuan yang dikehendaki namun saya faham keluarga berkeinginan untuk menyertai aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) tetapi saya minta maaf kita tidak dapat membenarkan sesiapa pun melainkan orang tertentu yang dikenal pasti adalah pakar dalam kerja berkenaan.

“Itu pun kita minta sangat agar berhati-hati kerana runtuhan dikesan berlaku beberapa kali sebelum ini, jadi kita bimbang dalam keadaan ramai orang berkunjung termasuk isteri dan keluarga mangsa, berlaku lagi runtuhan.

“Apabila itu berlaku, bermakna akan ada kemalangan jiwa. Kita minta maaf kerana kita ada tanggungjawab tidak boleh membenarkan sesiapa melainkan orang yang ada kepakaran tertentu (berada di lokasi kejadian),” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Timbalan Komander Operasi 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat.

Menurut Saarani, keluarga mangsa diminta melaporkan sebarang kesusahan yang dialami kepada pegawai daerah dan sekiranya di luar kemampuan beliau, maka pegawai daerah akan memaklumkan kepadanya.

“Setakat ini, saya yakin semua keperluan dan kebajikan keluarga mangsa telah diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN