MIRI: Mayat seorang wanita yang dibaham buaya di Sungai Telong Suai, Batu Niah dekat sini berjaya ditemukan penduduk pada jam 1.30 petang hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mayat Demit Chagai, 43, yang berasal dari Rumah Florence, Sungai Telong, Suai dijumpai di kawasan Sungai Telong Suai dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan sebelah kanan terputus.
Katanya, jarak mangsa dijumpai dari tempat kejadian dianggarkan 300 meter ke hulu sungai.
“Setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung yang menjumpai mayat mangsa, pasukan bomba telah pergi mengambil mayat di lokasi dengan bantuan penduduk kampung,” kata jurucakap itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima laporan mengenai kejadian lelaki terbabit semalam, jam 2 petang.
Saksi kejadian, iaitu kedua ibu bapa mangsa berkata mangsa telah dibaham buaya semasa mereka melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai.
Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa pada hari kedua hari ini ialah empat pegawai polis, empat pegawai APM, dua Pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak dan tujuh orang penduduk kampung bersama emat buah bot.- UTUSAN










