SEREMBAN: Syarikat pemaju Perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Akaun Amanah Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan sebanyak tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Leong Jee Van dalam majlis ringkas di Wisma Negeri di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, sumbangan kepada akaun amanah tersebut adalah bagi membantu kewangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU di negeri ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Matrix Concepts yang menyumbangkan sebanyak RM30,000 kepada Akaun Amanah OKU Negeri Sembilan. Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak korporat yang berminat untuk turut memberikan sumbangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Akaun Amanah OKU Negeri Sembilan diwujudkan bagi mengakaunkan semua terimaan daripada agensi, pihak swasta, syarikat korporat, NGO serta orang perseorangan dan perbelanjaan yang berkaitan dengan pembangunan OKU di Negeri Sembilan.
Akaun tersebut dilancarkan Aminuddin pada 26 Januari lalu bersempena Sambutan Hari OKU Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Lee Koon berkata, sejak dilancarkan, akaun amanah tersebut telah menerima sebanyak RM170,000 yang disumbangkan oleh lima buah syarikat.
“Kesemuanya berjumlah sebanyak RM 170,000 bagi kegunaan pengoperasian, pembaikan dan penyelenggaraan kecil, pembelian peralatan dan program serta aktiviti yang dijalankan oleh NGO OKU. – UTUSAN










